Menghadapi Rampasan Kereta

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Email this to someone
rampasan kereta
Rampasan kereta. Foto hiasan.

Rampasan kereta adalah sejenis rompakan (iaitu kecurian dengan menggunakan paksaan, kekerasan, keganasan, atau ugutan) yang mana barang yang dicuri ialah kenderaan bermotor.

Jika anda bermastautin atau melancong di tempat atau di negara yang mana kejadian rampasan kereta atau kenderaan selalu berlaku, berwaspadalah selalu.  Terdapat perkara-perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan kebarangkalian untuk menjadi sasaran perampas kereta ini, namun jika ada yang cuba mencuri kereta anda dengan menggunakan kekerasan, sentiasalah utamakan keselamatan diri anda dahulu.

Contoh rampasan kereta adalah seperti dalam filem di mana hero atau penjahat merampas kereta untuk kegunaan mereka sendiri.

Tindakan Ketika Menghadapi Rampasan Kereta

Cara bagaimana anda boleh bertindakbalas terhadap rampasan kereta bergantung kepada sama ada perompak atau perampas tersebut bersenjata atau tidak.  Jika dia bersenjata, jangan ambil sebarang risiko.  Bertenang dan turuti kehendaknya.  Ingat, harta benda boleh diganti semula, tetapi nyawa tidak demikian.  Letakkan keselamatan diri anda sebagai keutamaan.

Jika Perampas Kereta Sedang Mendekati

  1. Pandu Lari Daripadanya.  Jika anda mengesyaki seseorang sebagai perampas kereta datang mendekati kereta anda, pandu menjauhinya dengan cepat.
  2. Buat Bunyi Bising.  Bunyikan hon anda untuk sehabis mungkin menarik perhatian orang lain.  Kemudian buat laporan polis serangan tersebut secepat mungkin.

Jika Perampas Kereta Sudah Masuk Ke Dalam Kereta

  1. Keluar dan Lari.  Jika seorang perampas kereta masuk ke dalam kereta anda dan menyuruh anda keluar dengan menggunakan senjata, keluar dan lari dari kenderaan tersebut dengan segera.  Jangan lakukan apa-apa untuk menghalang dia dari mengambil kereta tersebut.
  2. Jika Anda Tidak Dapat Lari.  Cuba kekal bertenang dan dengar kata-kata perampas.  Jangan buat sebarang gerakan mengejut dan elakkan pertentangan mata.  Teruskan seperti anda berada dalam situasi tebusan.  Jika anda disuruh memandu, pandu dengan berhati-hati.
  3. Setelah Dilepaskan.  Setelah anda pasti perampas kereta tersebut sudah pergi meninggalkan anda, laporkan kejadian ini kepada pihak polis.  Anda juga mungkin memerlukan kaunseling kerana trauma.

Penting Untuk Diingati

Kuncikan kereta anda dan bawa anak kuncinya bersama dengan anda walaupun anda mahu keluar sekejap dari kereta.  Kebanyakan syarikat insurans enggan membayar ganti rugi kepada anda  jika anak kunci ditinggalkan dalam kereta.

Langkah Berjaga-jaga Ketika Memandu

  • Ketika memandu,  sentiasa pastikan pintu dalam keadaan dikunci dan tingkap tidak terbuka lebih daripada separuh, terutamanya ketika memandu melalui kawasan bandar.  Pastikan juga but kereta anda dikunci.
  • Jangkakan keadaan lalulintas yang boleh membuatkan anda terpaksa berhenti.  Bergerak ke lorong tengah jika ada dan brek awal supaya kereta anda boleh terus bergerak selama mungkin.  Jika anda perlu berhenti, tinggalkan ruang yang mencukupi di hadapan agar anda dapat memandu keluar, jika anda terpaksa.
  • Jika seseorang yang tidak dikenali bertanyakan arah jalan atau pertolongan, bercakap dengannya dengan tingkap separa terbuka dan sentiasa biarkan kereta anda berkunci.
  • Jika anda mengesyaki anda sedang diekori,  pandu kereta ke balai polis. Atau pandu ke tempat awam yang selamat dan gunakan telefon bimbit anda atau telefon biasa untuk menghubungi pihak polis.
  • Perampas kereta mungkin sengaja melanggar sesebuah kenderaan dari belakang.  Apabila pemandu keluar untuk melihat, pencuri tersebut akan bertindak.  Walaupun anda sentiasa berhenti pada kejadian kemalangan, jika anda rasa curiga, atau rasa takut keselamatan diri diancam, pandulah ke balai polis terdekat.

Sentiasa Beringat-ingat

  • Sentiasa lebih berwaspada di tempat ‘serangan hendap’ atau tempat-tempat di mana anda perlu memperlahankan kereta, seperti di persimpangan yang dikawal oleh lampu isyarat atau  lintasan pejalan kaki.
  • Perompak kereta mungkin berpeleseran berhampiran mesin ATM, kedai-kedai di tepi jalan, kawasan stesen minyak dan pusat membasuh kereta kerana ramai pemilik kenderaan meninggalkan anak kunci kereta / kenderaan mereka ketika berada di tempat-tempat ini.
  • Apabila kembali ke kenderaan anda, sentiasa sedar keadaan sekeliling.  Berjalanlah dengan yakin, dengan anak kunci di tangan, masuk dengan cepat, kunci pintu dan terus memandu keluar.
  • Jangan sesekali tinggalkan kanak-kanak sendirian dalam kereta atau kenderaan, walaupun ketika sedang memunggah barang masuk atau keluar dari kenderaan.
  • Ketika hendak menjual kereta atau kenderaan anda, fikir lebih dari sekali sebelum memberikan pandu uji.  Bawa seseorang bersama anda dan jangan biarkan anak kunci pada kunci ketika bertukar tempat duduk.  Jangan lepaskan pandangan anda pada anak kunci kereta anda kerana dibimbangi ia mungkin disalin atau ditukar.
Iklan