Langkah Pertama Ketika Menghadapi Situasi Kecemasan

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Email this to someone
Mengendali situasi pertolongan cemas.

Apabila anda berdepan dengan seseorang yang mengalami kecederaan,  bertenang dan ikuti pelan tindakan yang jelas.  Paling utama, pertimbangkan keselamatan diri anda dahulu.  Apabila anda yakin bahawa selamat untuk bertindak, nilai dan bantu mangsa kemalangan dan dapatkan bantuan yang sewajarnya.

Langkah Pertama: Menilai Situasi Kejadian

Pastikan keselamatan diri dan mangsa. Kemudian kenal pasti dan rawat keadaan yang membawa ancaman segera kepada nyawa.  Perkara yang paling penting adalah keadaan tidak sedarkan diri (pengsan) – atas apa jua sebab.  Perkara seterusnya adalah keadaan yang boleh menjejaskan pernafasan dan peredaran darah.

  1. PERIKSA ADAKAH SELAMAT UNTUK MENDEKATI MANGSA.  Jika tidak selamat, panggil perkhidmatan kecemasan dan kekalkan jarak anda dari mangsa sambil memerhatikannya.  Jangan dekati walaupun keadaannya menjadi bertambah buruk.
  2. PERIKSA KESELAMATAN MANGSA.  Hanya alihkan mangsa jika nyawa dalam ancaman segera (dan tiada risiko untuk memberi kecederaan kepada diri anda).
  3. NILAI DAN RAWAT.  Uruskan kecederaan yang berpotensi mengancam nyawa atau keadaan seperti tiada kesedaran diri (mangsa pengsan) sebelum mengendali keadaan atau kecederaan lain. Lihat carta alir penilaian dan bantuan di sini.
  4. DAPAT BANTUAN YANG SESUAI.  Anda mungkin perlu membuat panggilan perkhidmatan kecemasan atau meminta pertolongan dari orang-orang sekeliling dan berdekatan.

Dapatkan Bantuan

Panggil bantuan kecemasan jika mangsa cedera teruk dan/atau perlu dibawa dengan pengusung.  Jika mangsa memerlukan rawatan hospital tetapi dia boleh berjalan atau duduk dan keadaannya tidak mungkin menjadi lebih teruk, anda boleh membawanya dengan kereta.  Untuk kecederaan-kecederaan lain, buat panggilan kecemasan tempatan untuk mendapatkan nasihat dan/atau bantuan.

Anda perlu memaklumkan perkhidmatan kecemasan perkara berikut:

  • Nombor telefon anda, lokasi anda termasuklah sebarang petanda tempat dan jenis kemalangan.
  • Bilangan mangsa, lingkungan usia mereka dan gambaran kecederaan mereka.  Kekalkan berada dalam talian untuk menjawab sebarang soalan dan menerima nasihat-nasihat pertolongan cemas.  Orang menjawab panggilan kecemasan anda juga akan menghubungi pihak polis, bomba atau pihak lain yang berkenaan.
Iklan